Friday 31 October 2014

Mesyuarat AJK KKWS





31 Okt 2014 – Satu mesyuarat tergempar telah dijalankan oleh Ahli Jawatankuasa KKWS. Mesyuarat kali ini dijalankan dalam suasana santai tetapi professional. 

Mesyuarat ini dilakukan adalah untuk membincangkan beberapa agenda-agenda yang melibatkan persembahan pada keesokan hari dan perancangan jangka panjang KKWS agar lebih tersusun dan terancang.

Antara agenda-agenda mesyuarat yang dibincangkan adalah seperti berkenaan dengan proses pendaftaran ROS dan Proses membuka akaun kelab, begitu juga berkenaan dengan sponsor dan sebagainya. Semua agenda ini penting bagi mengukuhkan lagi kekuatan kelab dan memudahkan proses pengurusan kelab untuk ke langkah yang seterusnya.

Mesyuarat kali ini berakhir pada jam 2.30 pagi dengan mendapat persetujuan dan pandangan yang positif dari semua Ahli Jawatankuasa. Semoga dengan pengorbanan dan komitmen semua AJK ini dapat memastikan semua matlamat KKWS tercapai dengan kejayaan yang gemilang sekaligus memartabat budaya bangsa.

Thursday 30 October 2014

SEKITAR PERSIAPAN KARNIVAL





30 Okt 2014 – Seperti majlis-majlis lain,pihak KKWS seperti biasa akan membuat proses penyesuaian tempat dan tapat BUZZ untuk memudahkan persembahan yang akan berlangsung tanpa gangguan mahupun masalah.

Memandangkan Karnival Mahabbah SRA Saujana Utama kali ini dirasmikan oleh MB Selangor, Pihak KKWS lebih menitik berat kualiti persembahan demi nama baik KKWS sendiri dan penganjur. Oleh itu hari ini Pengerusi KKWS sendiri telah turun padang memantau dan mengenalpasti tapak BUZZ KKWS serta membuat perbincangan kecil bersama pihak penganjur tentang tentetif Karnival agar lebih jelas untuk kedua-dua belah pihak.

Semoga perjalanan Karnival Mahabbah SRA Saujana Utama ini berjalan lancar dan berjaya.  Insya ALLAH.

Wednesday 29 October 2014

Latihan Persiapan Majlis Menyambut MB Selangor.





29 Okt 2014 – Alhamdulillah,sekali lagi KKWS menjalankan rutin latihan seperti biasa tetapi apa yang mengejutkan adalah semangat anak-anak KKWS yang sanggup hadir walaupan telah diberikan pelepasan oleh pihak pengurusan KKWS dari menghadiri latihan memandangkan minggu ini adalah minggu peperiksaan.

Latihan kali ini merupakan latihan terakhir untuk persediaan Majlis menyambut MB Selangor pada Sabtu ini di Karnival Mahabbah SRA Saujana Utama.

Tidak seperti kebiasaannya,latihan kali ini juga diselitkan dengan rentak lagu-lagu salingan seperti Can Mali Can, Selamat Pengantin Baru, Cik Mek Molek dan Joget Kelantan. Walaupan pertama kali memainkan rentak ini namun ahli-ahli terutama kanak-kanak memberi impak yang positif malah seperti sudah sebati dengan alunan lagu dan rentak lagu-lagu ini.

Inilah yang dikatakan,Bakat tu perlu dipupuk,baru la ia menjadi manfaat,seperti putik yang dijaga sehingga berkembang menjadi bunga yang mekar. Semoga hasil usaha murni ini terus mekar dan mewangi berkembang hingga ke seluruh nusantara, Insya ALLAH.

Untuk anda yang sudi melawat blog kami ini dan sentiasa menyokong perjalanan KKWS, pihak kami berbesar hati untuk berkongsi sedikit video latihan kami pada hari ini untuk santapan anda.. Balun!!!!

Tuesday 28 October 2014

Seni Kompang

1.0   Pengenalan
           
Kompang diklasifikasikan sebagai alat membranofon dalam kelas dram kecil yang mempunyai satu permukaan kulit dan mempunyai badan yang berbingkai. Selain itu, kompang merupakan salah satu daripada alat muzik tradisional Melayu yang popular pada masa kini dan sejenis alat muzik paluan serumpun dengan gendang. Kompang dimainkan bersama dalam beberapa alatan lain untuk persembahan tarian dan nyanyian dan alat muzik tradisional ini yang sangat dikenali di kalangan masyarakat Melayu.
Alat muzik ini sebenarnya berasal daripada kebudayaan  Arab dari Asia Barat dan Timur Tengah dan diperkirakan dibawa masuk ke kawasan tanah Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kompang telah dibawa masuk oleh pedagang India muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab yang dimainkan untuk menarik perhatian bagi tujuan perniagaan. Di samping itu, kompang juga dikenali di Asia Barat sebagai Dufuf, Daff, Duff, Tar atau Bendirdan serta kompang juga dikenali di Indonesia sebagai rebana atau terbang.
Asalnya kompang merupakan seni permainan secara instrulmental iaitu mengiringi aluan dan bacaan bernada dalam puisi budaya islam seperti marhaban, zikir, dan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W. Menurut hadis riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi daripada Aishah binti Abu Bakar R.A. sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “hendaklah kamu mengiklankan nikah dan lakukanlah aqad di masjid dan palulah dufuf (kompang)”. Kompang digunakan di Parsi untuk menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W pada waktu itu.
Selain itu, kompang juga digunakan untuk memberi semangat kepada tentera-tentera islam ketika berperang. Alat muzik ini dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab yang datang berdagang. Seperti yang dijelaskan sebelumnya, alat muzik ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk Rumpun Melayu, khususnya orang Jawa. Di Malaysia kebanyakan kompang dimainkan di negeri Johor, Selangor dan Perak dan di negeri Johor kebanyakan pemain menggunakan kompang yang sama saiznya. Hal ini demikian kerana kompang yang pelbagai saiz menghasilkan bunyi yang berbeza.
Sebaliknya pemain di negeri Perak dan Selangor pula menggunakan alat muzik sampingan yang lain untuk mempelbagaikan bunyi. Kalau dahulunya alat muzik ini hanya dimainkan dalam perarakan pengantin untuk sesuatu majlis perkahwinan, berkhatan, dan menyambut pembesar, namun kini penggunaannya telah diperluaskan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan ketika menyambut ketibaan pemimpin negara luar

2.0 Cara Bermain Kompang.
  
 Kompang juga selalu dimainkan di dalam orkestra atau kumpulan-kumpulan muzik Melayu dan perarakan menyambut tetamu kehormat dalam sesuatu majlis rasmi. Kompang adalah alat muzik yang dimainkan dengan menggunakan kedua – dua belah tangan. Cara memain kompang adalah dengan memegang kompang iaitu kompang diletakkan diatas telapak tangan kiri dengan ibu jari mencengkam kayu balong dan keempat-empat jari lain tidak menekan permukaan kulit luar manakala tangan kanan pula memukul kompang. Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang menggunakan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak.
 Kompang biasanya dimainkan semasa hari perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain. Jika diteliti bunyi kompang yang dihasilkan adalah berbezakan,hal ini kerana cara menepuk kompang adalah berbeza dengan melihat cara bukaan tapak tangan. Bagi menghasilkan bunyi 'bum' tapat tangan perlu menepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup atau dirapat manakala bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.Kompang yang berbentuk seperti sebiji tamborin tanpa kepingan besi disekelilingnya, selalunya dimainkan secara berkumpulan.
Pelbagai corak paluan kompang dihasilkan dengan melapiskan pelbagai rentak paluan yang berbeza menjadi satu gabungan ritma yang menarik. Kompang juga dimainkan secara beregu dalam keadaan duduk, berdiri atau berjalan. Jika kompang dimainkan dalam acara berzanji, pemain akan duduk bersila atau duduk di atas kursi. Sebaliknya jika kompang dimainkan dalam acara pernikahan dan menyambut pegawai daerah atau pejabat negara, pemain kompang ini berjalan mengiringi pengantin dan pegawai pejabat daerah, atau pejabat negara tersebut.

3.0  Proses Pembuatan Kompang.

Proses pertama pembuatan kompang ialah dengan membuat bingkai kompang iaitu memotong kayu yang telah dipilih. Pada peringkat ini, kayu tersebut dipotong mengikut anggaran kasar saiz kompang yang dikehendaki. Proses pemotongannya tidak memerlukan ketelitian yang lebih kerana apa yang dikehendaki adalah bentuk bulat yang diperlukan untuk membentuk bingkai. Walau bagaimanapun, setiap kerja mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh bagi menghasilkan bentuk bingkai yang menarik.
Kemudian Proses yang kedua adalah proses pengeringan kayu. Proses ini dilakukan dengan menghimpunkan kayu-kayu yang telah siap dipotong di tempat yang redup dan kering. Sebelum proses ini dilakukan, kayu-kayu tersebut terlebih dahulu disapukan dengan lilin untuk memelihara kekuatan kayu. Kayu-kayu yang dijemur akan dikering dalam jangka masa tiga hingga lima bulan iaitu bergantung kepada cuaca persekitaran. Selepas kayu-kayu tersebut kering proses terakhir adalah untuk membuat bingkai. Bingkai kompang ini akan dilakukan dengan menggunakan mesin "lathe" yang akan membentuk bingkai. Pembentukan bingkai kompang pada masa kini telah menjadi lebih mudah dengan terhasilnya mesin "lathe" yang digunakan untuk membentuk bingkai.
Kemudian mesin Lathe digunakan untuk mengukir bingkai kompang. Penggunaan mesin ini telah memudahkan proses pembuatan kompang pada masa kini berbanding pada masa dahulu. Disamping mesin ini memudahkan proses pembuatan kompang, ianya juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kayu yang berkualiti akan dipotong dengan menggunakan mesin lathe untuk membentuk satu bulatan mengikut ukuran yang dikehendaki. Potongan kayu ini akan dipoles dengan lilin, lalu dijemur di tempat yang tidak terkena langsung sinar matahari selama tiga bulan. Setelah kering, kulit kambing ditempelkan pada permukaan bulatan dan dikencangkan. beludru dililitkan di sekeliling bulatan. Paku disematkan, agar kulit tersebut selalu dalam keadaan tegang.
Cara-cara membuat kompang melalui cara moden ialah dengan menggunakan mesin dan mesin tersebut akan memusingkan kayu untuk membuat bingkainya. Selepas kayu diperoleh, ia akan dipotong ke dalam bentuk bulatan. Potongan - potongan kayu ini kemudianya di himpun dan dibiarkan kering dalam kawasan tertutup dan bukannya di bawah pancaran matahari. Kayu yang telah retak tidak akan digunakan dalam proses pembuatan kompang. Sebaik sahaja tempoh pengeringan berakhir, proses pembuatan tahap akhir bermula.
 Kulit kambing digunakan untuk membuat permukaan kompang yang akan menghasilkan bunyi. Kulit kambing yang telah dibuang bulunya akan diproses dengan bancuhan Air kapur. . Kemudian kulit tersebut akan dikeringkan di tempat yang lembab. Kadangkala, kulit kambing tersebut akan di tarik-tarikan agar lembut dan rata.setelah itu,
rotan batu akan dililitkan di dalam gendang bertujuan untuk mencekangkan gendang tersebut. Setelah kering, kulit kambing akan diletakkan pada permukaan bulatan dan ditegangkan. Baldu akan dililitkan di sekeliling bulatan. Setelah itu, paku akan disemat untuk memastikan kulit tersebut sentiasa berada dalam keadaan tegang.
Sesebuah kompang mesti mempunyai seni ukiran yang cantik, ketegapan struktur rangkanya, serta bunyi merdu yang dihasilkan, merupakan pakej yang mesti ada pada sesebuah kompang.

4.0  Peranan Kompang Dalam Masyarakat.

            Peranan kompang dalam kehidupan masyarakat pada masa kini telah menjadi begitu penting khususnya untuk meraikan majlis perkahwinan atau perarakan untuk menyambut pembesar-pembesar negara. Kompang biasanya dimainkan oleh masyarakat Melayu mengikut rentak iramanya sendiri,selain daripada perarakan pengantin dalam sesuatu majlis perkahwinan, dan perarakan tetamu kehormat dalam sesuatu majlis rasmi, kompang juga berperanan untuk memeriahkan majlis marhaban, majlis berkhatan, perasmian sesuatu program atau acara yang melibatkan ”gimik” dan boleh juga digunakan oleh kelab penyokong untuk memeriahkan acara sukan seperti kelab bolasepak, kumpulan orkestra, nasyid dan kumpulan-kumpulan muzik melayu yang lain.
Kompang juga masyur di kalangan masyarakat islam di Sabah dan dikalangan suku Bajau. Selain itu peranan kompang juga, dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan menghayati kesenian permainan kompang serta mengenali dengan lebih dekat dan mendalam tentang kesenian permainan kompang. Disamping itu, dapat meningkatkan kesedaran sosial kepada masyarakat tentang aspek kerjasama dan semangat berpasukan berkonsepkan kebudayaan dan kesenian melalui kompang yang boleh diaplikasikan dalam sesebuah masyarakat.
Mengeratkan silaturahim antara para peserta dan masyarakat  dalam permainan kompang serta menanam kecintaan dalam permainan kompang seterusnya menghargai warisan turun-temurun ini agar warisan melayu yang berharga ini tidaklah pupus ditelan zaman. Disamping sentiasa berpegang kepada semangat cintakan warisan negara  Malaysia dengan bercita-cita untuk memenuhi azam dan wawasan negara melalui pandangan ilmu dari sudut warisan, kebudayaan dan kesenian.

Copy And Paste From http://nuraliyairdina.blogspot.com

Saturday 25 October 2014

SESI REFLEKSI





25 Okt 2014 – Setelah latihan pada hari ini selesai seperti biasa Ahli Jawatankuasa KKWS sekali lagi bersidang untuk proses refleksi dan perbincangan bagi perancangan perjalanan KKWS yang lebih teratur dan sistematik.

Perjumpaan kali jni dijalankan secara santai dan seperti biasa dipengerusikan oleh Tuan Pengerusi KKWS sendiri saudara Wak Jibeng. Perbincangan ini meliputi persediaan dan perancangan untuk Persembahan pada 1 November 2014 di Karnival Mahabbah SRA Saujana Utama menyambut ketibaan MB Selangor. Selain itu juga perbincangan diteruskan mengenai pengurusan KKWS sendiri agar lebih mantap.

Semua Ahli Jawatankuasa Bersuarai pada Jam 3.00 Pagi, semoga dengan usaha keras para AJK dan kerjasama Semua Ahli dan penjaga, KKWS akan melangkah lebih jauh dan Berjaya memartabatkan khazanah kesenian bangsa ini. Ameen